PASIR MAS – Jumlah kenderaan masuk ke Kelantan menunjukkan peningkatan sebanyak 10 peratus berbanding hari biasa meskipun larangan merentas negeri masih berkuatkuasa.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pertambahan itu dapat dilihat menerusi hasil semakan yang dilakukan oleh polis menerusi sekatan jalan raya (SJR) yang dilakukan di pintu-pintu masuk utama ke negeri ini.
“Kita lihat jumlah kemasukan kenderaan ke negeri ini naik sebanyak 10 peratus.
“Kesemua kenderaan yang masuk ke negeri ini mempunyai surat kebenaran merentas negeri seperti disyaratkan oleh kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Pasir Mas yang baharu antara Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sharif dan Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir.
Mengulas lanjut, Shafien memberitahu, individu mendapat kebenaran untuk masuk ke negeri ini diingatkan supaya sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).
Katanya, pematuhan SOP itu mampu membantu kerajaan dalam membendung penularan pandemik Covid-19 di negeri ini. -K! ONLINE