PETALING JAYA – Doa yang dititipkan oleh Noor Nabila untuk anak tirinya, Engku Aleesya Engku Emran sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-12 semalam menyentuh hati ramai pihak termasuk dalam kalangan rakan-rakan selebriti.
Doa dan ucapan menyentuh hati itu telah dimuat naik Nabila menerusi satu hantaran yang dikongsikan dalam Instagramnya.
“Ya Allah ku bersyukur dan berterima kasih Ya Allah. Kau serikan hidupku dan anakku dengan kehadiran Aleesya.
“Wahai Rabbul alamin, panjangkan usianya, sihatkan dia, luaskan rezekinya, makbulkan segala doanya, sempurnakan hajatnya, capaikan segala cita-citanya.
“Selamat hari jadi yang ke-12 sayang. Semoga Aleesya sentiasa dalam lindungan dan rahmatNya. We love you so much (kami semua sangat sayangkan awak),” tulisnya.
Menerusi hantaran tersebut, Nabila juga memuat naik beberapa keping fotonya bersama Aleesya ketika majlis perkahwinannya dengan Engku Emran.
Menjengah ke ruangan komen, ucapan istimewa itu turut mendapat perhatian dan ucap balas oleh rakan-rakan selebriti antaranya Alif Satar, Fizo Omar, Catriona Ross termasuk dua orang adik Nabila iaitu Ameera Khan dan Athisha Khan.
Terdahulu, Nabila sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama aktor, Sharnaaz Ahmad pada 31 Mac 2017 sebelum berpisah pada 9 Julai 2020 di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Jebat Jayden Ahmad yang kini berusia tiga tahun.
Manakala Engku Emran pula sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama primadona filem Melayu, Erra Fazira pada 25 Oktober 2007 namun bercerai pada 18 Februari 2014.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya yang kini berusia 12 tahun.
Engku Emran sekali lagi mendirikan rumah tangga pada 8 September 2017 bersama artis terkenal dari Indonesia, Laudya Cynthia Bella, namun berpisah pada Jun 2020. -K! ONLINE