KUANTAN – Usah mudah percaya dengan rakan media sosial yang baru dikenali dan tiba-tiba pula ingin mengirim hadiah lumayan dari luar negara.
Dalam kejadian baru-baru ini, seorang pembantu jualan berusia 38 tahun mengalami kerugian sebanyak RM17,500 akibat diperdaya rakan baru di laman sosial Facebook.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, wanita tersebut berkenalan dengan suspek pada Februari lalu.
“Mangsa telah berkenalan dengan seorang lelaki menggunakan nama akaun Facebook sebagai Mohammed Asan yang berasal dari Sarawak dan menetap di Amerika Syarikat.
“Lelaki tersebut memberitahu ingin memberi hadiah berupa wang tunai AS20,000 (RM83,000) serta barang kemas sebagai tanda persahabatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, wanita berkenaan bagaimanapun diminta membuat bayaran cukai barang dan perkhidmatan (GST), caj kastam serta kos penghantaran sebelum boleh menerima hadiah tersebut.
Ujarnya, tanpa berfikir panjang mangsa telah melakukan 11 transaksi pemindahan wang ke dalam akaun bank milik seorang wanita antara 26 Februari hingga 6 Mac lalu.
“Selepas memindahkan RM17,500 ke dalam akaun yang diberikan suspek, mangsa sekali lagi diminta memasukkan RM1,000.
‘Mangsa bagaimanapun enggan memasukkan wang tersebut kerana menyedari telah tertipu,” tambahnya.
Katanya, mangsa tampil membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -K! ONLINE