MELAKA: Rumah pusaka berusia lebih 100 tahun terletak di Kampung Morten juga satu-satunya perkampungan Melayu tradisional di tengah bandar raya bersejarah ini.
Ia mendapat perhatian ramai kerana keunikan ciri tradisi masih terpelihara pada reka bentuk binaannya.
Pemilik rumah inap desa Yunus Homestay, Mariam Othman, 57, berkata sejak 10 tahun lalu rumah pusaka itu dibuka untuk orang ramai yang mahukan suasana perkampungan sebenar masyarakat Melayu Melaka.
Akuinya, walaupun agak berat pada mulanya melepaskan rumah yang didiami sejak kecil kepada umum, situasi berubah menjadi positif apabila ramai pengunjung memuji keselesaan rumah inap disediakan itu.
“Pada mulanya, saya terpaksa melepaskan rumah ini untuk disewakan memandangkan saya mahu membantu keluarga mencari pendapatan lebih namun kepuasan dinikmati apabila ramai memberi maklum balas positif.
“Antara keistimewaan rumah pusaka ini adalah rekaan mengikut identiti rumah Melayu Melaka, selain ukiran di sekeliling tingkap, pintu dan dinding serta tangga rumah masih dikekalkan seperti asal.
“Dinding rumah kayu sentiasa dijaga menjadi daya tarikan orang ramai dan pelancong yang sering singgah untuk bergambar di depan rumah ini walaupun tidak menginap di rumah ini,” katanya ketika ditemui di Yunus Homestay, di sini, baru-baru ini.
Kata Mariam, rumah pusaka dua bilik itu juga menjadi pilihan selebriti tempatan dan luar untuk dijadikan lokasi penggambaran klip video dan lakonan.
“Ciri warisan rumah ini menjadi faktor pendorong kepada tarikan ramai dan pernah mencuri perhatian selebriti Korea Selatan bagi tujuan penggambaran klip lagu.
“Kini, bagi membolehkan lebih ramai pelanggan datang bermalam di rumah pusaka ini, saya menambah dua lagi bilik di luar,” katanya.
Katanya, rumah pusaka itu disewakan pada harga RM490 satu malam dan dua lagi bilik di luar masing-masing berharga RM150 bagi individu yang berminat untuk menikmati sendiri suasana perkampungan di tengah Bandaraya Melaka.
“Pelanggan yang menyewa rumah pusaka juga disediakan dengan hidangan Melayu seperti Asam Pedas, kuih-muih dan minuman.
“Akan datang, saya bercadang untuk mengetengahkan aktiviti mencanting batik bingkai dan membuat kolam renang di tepi rumah untuk mempelbagai aktiviti di sini, “ katanya.
Sementara itu, katanya, sebagai Sahabat (peminjam) Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sejak 10 tahun lalu membolehkannya memperbaiki dan menyelia rumah pusaka itu agar memenuhi permintaan pelanggan.
“Kemudahan perkhidmatan yang ditawarkan AIM amat membantu usahawan kecil seperti saya. Wang pinjaman dijadikan modal pusingan untuk mengembangkan perniagaan.
“Semangat antara Sahabat juga menjadi dorongan untuk saya lebih cekal meneruskan perusahaan agar terus bertahan lebih lagi tempoh ekonomi kini yang cukup mencabar,” katanya.
Bagi sesiapa yang berminat untuk menginap di Yunus Homestay, boleh menghubungi Mariam Othman di talian 013-778 2525.