KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan membantu memastikan dua prospek emas negara, Mohd. Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom menerima vaksin di Australia memandangkan kedua-duanya sedang berlatih di negara berkenaan.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menjelaskan, tiada keperluan buat dua pelumba trek elit kebangsaan itu pulang ke Malaysia untuk mendapat vaksin Covid-19 sekiranya mereka telah disuntik di Australia.
Justeru, Reezal berkata, pihaknya akan cuba memastikan dua pertaruhan terbaik negara pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun nanti menerima vaksin di tempat latihannya ketika ini di Melbourne.
“Saya akan pastikan 264 atlet yang tersenarai akan menerima vaksin pada April ini dan dos kedua sebelum Mei depan. Bagi Azizulhasni, kita akan uruskan dia terima di sana.
“Kebanyakan negara mengamalkan vaksin untuk semua orang. Dia tak perlu ambil di sini (Malaysia) jika sudah terima di sana.
“Kita akan pastikan dia terima di sini jika dalam tempoh tertentu masih belum dapat. Namun, semuanya bergantung kepada waktu paling awal boleh mendapat vaksin di sana,” katanya sewaktu Majlis Pelancaran Program ‘Beyond Coaching’ Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) di Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.
Reezal turut mengakui sedia berbincang dengan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengenai tarikh penerimaan vaksin buat atlet-atlet negara.
Dalam pada itu, beliau yakin ‘Beyond Coaching’ mampu membawa impak positif dan turut menyambut baik pengenalan program ‘Women Can Coach’ kerjasama AKK serta ISN bagi meningkatkan penglibatan wanita dalam industri kejurulatihan.