fbpx

AIM bantu Bayah ternak rusa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bayah Md. Sidek, masih aktif menguruskan ternakan rusa dimilikinya biarpun usianya sudah mencecah 77 tahun.


MELAKA: Biarpun usianya sudah 77 tahun, semangat dan kelincahan nenek ini membersih kandang rusa berkeluasan satu kolam renang cukup mengagumkan sesiapa saja yang berkunjung ke ladang ternakan dimilikinya.

Menceburi aktiviti ternakan rusa sejak 2008, Bayah Md. Sidek atau lebih mesra dengan panggilan Nek Bayah tidak menjangkakan hobi dimulakan itu mampu menjana keuntungan.

Mulanya menternak tiga rusa baka diambil dari Indonesia, perniagaan agro diberi nama Riverside Antler Valley itu berkembang kepada 10 rusa dan Bayah dalam proses untuk meluaskan lagi ladang ternakan dimilikinya itu.

“Saya memilih ternakan rusa kerana melihat haiwan ini sangat unik selain penjagaannya juga jauh lebih mudah berbanding ternakan lain.

“Jadi untuk permulaan, saya membeli dua ekor rusa betina dan seekor jantan untuk tujuan pembiakan. Bermula dari situ, saya melihat prospek untuk mengembangkan jualan daging rusa amat tinggi.

“Penjualan daging rusa mentah mampu mencecah RM90 satu kilogram (kg) dan ia mendapat permintaan yang tinggi lebih lagi menjelang musim perayaan,” katanya ketika ditemui di ladang ternakan rusa miliknya, di sini, baru-baru ini.

Bayah Md. Sidek

Katanya, harga daging rusa sememangnya tinggi, tetapi kapasiti untuk memenuhi pasaran penjualan dagingnya belum cukup walaupun rusa ini adalah jenis haiwan ternakan yang mudah membiak.

“Rusa betina yang dibela akan melahirkan anak dalam tempoh enam bulan bahkan kadar kematian anak rusa juga agak rendah,

“Namun, jumlah rusa yang ada di ladang saya masih tidak mencukupi kerana ia hanya mampu memuatkan 10 ekor rusa bagi memberikan keselesaan kepada haiwan ini bergerak,” katanya.

Bayah memberitahu, penternakan rusa mudah kerana haiwan itu tidak memerlukan penjagaan rapi dan cukup sekadar menyediakan daun dan makanan khusus.

“Selain rumput dan makanan khusus, rusa juga gemar memakan roti buku yang diberikan tiga kali sehari.

“Haiwan ini sukar mendapat penyakit. Boleh dikatakan rusa dalam kategori haiwan ternakan yang lasak dan mudah dijaga.

“Penting untuk kita tahu makanan yang diberikan supaya daging sentiasa sedap walaupun dimasak dengan pelbagai cara,” katanya.

Menyentuh tentang pengalamannya sebagai Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), katanya, institusi kewangan itu banyak membantunya mengembangkan perniagaan dalam bidang agro.

“Kehadiran AIM banyak membantu mengurangkan bebanan kewangan dihadapi pengusaha seperti saya.

“Saya mula menjadi Sahabat AIM sejak 2008 dan sejak itu saya membuat pinjaman untuk menggerak dan melebarkan penternakan ini ke tahap lebih baik,” katanya.

Untuk maklumat lanjut hubungi Bayah Md. Sidek 011-5140 3540.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI