SKUAD hoki lelaki negara tidak akan melepaskan peluang beraksi pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun sekiranya mendapat ‘durian runtuh’ ditawarkan tempat ke pentas berprestij dunia itu pada Julai depan.
Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Profesor Datuk Dr. S. Shamala menegaskan, Malaysian Tigers tidak akan berdepan masalah kerana pasukan kebangsaan sentiasa berlatih untuk menghadapi apa-apa kejohanan berprestasi tinggi.
Terdahulu, timbul spekulasi Malaysia mungkin boleh menggantikan slot Afrika Selatan yang bergelut mengumpul dana selepas kerajaan negara itu dikatakan enggan menanggung kos pasukan ranking ke-14 dunia itu.
“Malaysia adalah pasukan pengganti pertama bagi Olimpik. Jadi, kami sentiasa bersedia jika ada pasukan tarik diri walaupun saya tiada dengar apa-apa khabar angin buat masa ini.
“Namun, mungkin ada pasukan akan berdepan masalah untuk ambil bahagian kerana situasi Covid-19. Mungkin sebab itu juga ada spekulasi berlegar selagi Sukan Olimpik belum bermula.
“Ini kerana, mustahil ada pasukan tarik diri daripada Sukan Olimpik. Jika betul Malaysia ditawarkan tempat, kita akan sambar peluang itu kerana ia sesuatu yang sangat bagus bahkan kita juga sudah berlatih,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Laporan portal antarabangsa Independent Online baru-baru ini mendedahkan, skuad hoki Afrika Selatan perlu mencari dana sekurang-kurangnya 3.5 juta Rand Afrika Selatan (RM970,000), namun sehingga kini baru berjaya meraih 30,000 Rand (RM8,355).