fbpx

Adiwira: NSL Pentas Srikandi Sukan Negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Oleh SLAMET SAZLY YAKUB
Penerbit Kanan, Kandungan Kreatif Astro Arena

MAHU terima atau tidak, dunia kini di ambang revolusi.

Biduanita terkenal, Beyonce, sudah menyatakan hakikat ini sejak tahun 2011 lagi dengan laungan tema sejagat buat wanita di seluruh dunia. Who run the world? Girls (Siapa kuasai dunia? Wanita). Pertanyaan dan jawapan dalam rangkap yang sama, menatijahkan suatu ketentuan yang amat pasti. Beyonce bukan Nostradamus yang mampu meramal masa depan tetapi hanya sekadar menyatakan fakta. Sesungguhnya, sudah tiba masa dunia mengakui wanita adalah elemen utama yang menjadikan muka bumi sesuatu yang berharga untuk diperjuangkan.

Dari aspek sukan, tatkala mengharungi arus pemodenan, sukan adalah penting dalam kesejahteraan dan keharmonian masyarakat. Sukan kekal sebagai medium yang mampu menyatukan semua golongan, tidak kira umur, bangsa dan jantina.

Biarpun masih ada pemikiran dangkal mengatakan sukan hanya sesuai buat kaum lelaki, pendapat ini tidak lagi boleh diambil kira. Golongan wanita sudah sinonim dalam kejayaan dan kecemerlangan di pentas sukan tempatan serta antarabangsa.

Lihat sahaja bagaimana barisan srikandi yang beraksi dalam sukan bola jaring, mereka memberikan segala kudrat dan keringat pada setiap permainan. Harus diakui, pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, skuad bola jaring negara menerbitkan fenomena baharu dalam dimensi sukan negara dan juga mengalihkan lampu sorot peminat sukan dengan aksi mereka yang cukup gemilang.

Seluruh negara terpesona dengan persembahan penuh semangat barisan atlet elit ini dan seterusnya melahirkan watak baharu dalam sukan Malaysia. Tidak lagi terhad dengan nama Datuk Nicol Ann David dan Farah Ann, kini muncul barisan wirawati baharu buat anak-anak gadis jadikan sebagai ikon.

Aksi Netball Super League (NSL) yang berlangsung kini, menjadi satu lagi titik dalam revolusi. Setiap detik dan minit, dipenuhi saingan penuh debar dan adrenalin, persis pertarungan dewi-dewi mitos Greek karya penglipur lara.

Tidak keterlaluan jika dikatakan aksi sukan bola jaring, adalah sama, malah mungkin lebih rancak dan menghiburkan dengan aksi-aksi sukan popular yang lain seperti bola sepak atau badminton. Semua yang dimahukan daripada aksi kompetitif sukan, semuanya ada dalam sukan bola jaring ini.

Aksi agresif? Check. Tempo tinggi permainan? Check. Dramatik? Check. Malah, ada sesuatu yang romantis dalam sukan ini. Seramai 14 wanita dalam gelanggang, memberikan segalanya bukan sahaja untuk kejuaraan tetapi membuktikan bahawa mereka adalah atlet elit yang harus diberi penghormatan dan pengiktirafan sepatutnya.

Dalam menampilkan variasi menerusi penyampaian dan persembahan, penyiaran NSL ini juga didokong barisan personaliti wanita seperti Nadia Nash, Lily Hamzah, Haida Jafri, serta pengulas Suzana Basri dan Sharon Wee di samping ulasan pakar tokoh-tokoh sukan bola jaring negara, Fazdlun Abas dan Aminah Asaari. Penampilan mereka dalam liputan NSL menambah satu lagi perspektif dan juga meluaskan lagi dimensi penyiaran sukan di Malaysia secara amnya.

Dengan sokongan pelbagai pihak termasuk Kosmo! yang turut memeriahkan NSL tahun ini, akan tiba masa sukan ini menjadi permata baharu lanskap sukan negara. Peminat sukan akan memiliki lebih banyak pilihan dan tidak mustahil menjadi pilihan pertama untuk sesi tontonan berbanding sukan-sukan lain.

Pentas sukan negara ternyata kekal sebagai satu paradigma buat wanita menonjolkan kehebatan dan kewibawaan. Biarpun persepsinya, dikotomi antara lelaki dan wanita dalam sukan mencerminkan satu paradoks, tidak harus ada kompromi dalam menilai sumbangan wanita dalam kemeriahan sukan negara.

Dengan NSL, satu lagi pentas tersedia buat wanita menonjolkan kecemerlangan, bukan sahaja sukan, malah di Astro Arena, menerusi liputan dan penyampaian yang bakal kami sediakan.

Memetik bait puisi Jalaludin Rumi, “Wanita penuh daya cipta.” Satu kenyataan yang tidak perlu disangsikan mahupun dipertikai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI