PARIS – Ketua jurulatih Perancis, Didier Deschamps sedia membuat eksperimen sistem permainan baharu menjelang aksi Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2022 menentang Bosnia-Herzegovina di Stadium Grbavica awal pagi esok.
Ia susulan kecederaan lutut kiri dialami penyerang Manchester United, Anthony Martial sewaktu membantu Perancis mencatat kemenangan 2-0 ke atas Kazakhstan dalam aksi kedua di Arena Astana pada Ahad lalu.
Ia merupakan satu tamparan besar buat Deschamps, 52, kerana pemain berusia 25 tahun itu ketika ini dilihat kembali pada tahap terbaiknya selepas mencipta gerakan gol buat Ousmane Dembele ketika bertemu Kazakhstan.
Disebabkan itu, Deschamps bersedia untuk mengubah taktikalnya dengan berkemungkinan menggunakan formasi permainan 3-4-3 atau 3-5-2 selain membawa masuk beberapa nama baharu dalam kesebelasan utama awal pagi esok.
“Sudah tentu akan ada perubahan kerana ia sesuatu yang mustahil untuk turun bermain dengan kesebelasan pemain sama dalam tiga perlawanan berturut-turut.
“Ia tak bermakna saya akan menurunkan pemain terbaik di bahagian serangan, sebaliknya mereka yang boleh membawa perubahan dan menyukarkan pasukan lawan,” katanya. – AGENSI