TIRANA, Albania – Pengurus England, Gareth Southgate menggesa barisan pemainnya agar meningkatkan tahap permainan mereka dalam misi merakam kemenangan ketiga berturut-turut menjelang aksi bertemu Poland di Stadium Wembley awal pagi esok.
Southgate, 50, enggan anak-anak buahnya cepat berasa selesa dengan prestasi semasa selepas berpesta gol membelasah San Marino 5-0 pada 26 Mac lalu sebelum menewaskan Albania 2-0 kelmarin.
Bekas pengendali Middlesbrough itu tidak mahu menganggap kemenangan mudah terjamin buat The Three Lions walaupun Poland bakal beraksi tanpa kehadiran Robert Lewandowski yang mengalami kecederaan lutut.
“Sekarang ramai orang memperkatakan mengenai potensi pasukan ini. Kami perlu terus memberikan aksi pada standard yang tinggi jika mahu menepati jangkaan mereka.
“Saya gembira menyaksikan pemain meraikan kejayaan mereka sekarang tetapi mereka perlu ingat perjalanan kami masih panjang dan banyak lagi kelemahan yang boleh diperbaiki.
“Jadi, saya harap mereka meningkatkan permainan mereka pada satu tahap lebih bagus dan cuba memanfaatkan setiap peluang apabila di hadapan gawang gol pasukan lawan,” kata Southgate.
Dalam masa sama, Southgate menganggap aksi bertemu Poland sebagai ujian terhebat buat skuad bimbingannya sebelum memulakan kempen Kejohanan Euro yang akan membuka tirainya pada Jun depan. – AGENSI