IPOH – Terdapat banyak kesan lebam baharu pada tubuh lelaki yang mayatnya ditemukan dalam balutan kain dan kanvas di tepi jalan di Kilometer 57, Jalan Gerik-Kuala Kangsar dekat Kampung Lubuk Merbau semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, kesan lebam tersebut dipercayai akibat mangsa cuba mempertahankan diri.
Katanya, berdasarkan kecederaan, mangsa disyaki dipukul menggunakan objek tumpul dan suspek dipercayai lebih daripada seorang .
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa akibat kecederaan di kepala disebabkan objek tumpul.
“Pemeriksaan dalaman juga mendapati, banyak kesan lebam baharu pada bahagian hadapan dan belakang tubuh mangsa termasuk muka, tangan kiri dan kanan, dada, perut serta kaki kanan dan kiri,” katanya di sini hari ini.
Menurut Anuar, identiti mangsa yang berusia anggaran 40-an itu masih belum dikenal pasti dan pihaknya sedang mengesan identiti lelaki itu menerusi semakan laporan orang hilang.
Katanya, kes tersebut yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.
“Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga mahupun mereka yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.
“Maklumat boleh disalurkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar di talian 05-776 2222 atau Asisten Superintendan Mohamad Faisal Sarip (019-557 2999) dan Inspektor Ahmad Afiq Ahmad Termeze (012-460 5122),” katanya. – K! ONLINE