PETALING JAYA – Terkena tempias, penyanyi dan pelakon Andi Bernadee memohon maaf sekiranya videonya yang memaparkan dia menyentung hidung menggunakan kaki baru-baru ini telah mengguris hati golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Permohonan maaf itu disuarakan pelantun lagu Donde itu selepas dia turut terkena tempias daripada video kontroversi penyanyi Baby Shima semalam.
Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile, 30, mendedahkan dia turut menerima pelbagai kritikan menerusi video yang dimuat naik baru-baru ini walaupun tiada kaitan dengan golongan OKU.
“Ketika saya muat naik video tersebut, tiada kena-mengena langsung dengan video Baby Shima dan saya masih boleh bezakan mana yang baik dan buruk.
“Saya mohon maaf kepada pihak yang terbabit dalam isu ini terutama abang Zhariff. Harap perkara sebegini takkan berulang lagi,” katanya dalam InstaStorynya hari ini.
Dalam pada itu, pelakon drama Melastik ke Hatimu itu juga mengakui turut berasa marah ketika menonton video Baby Shima semalam.
Malah, menurut Andi, tidak mungkin dia akan merakam video tersebut sekiranya mengetahui tentang isu Baby Shima itu lebih awal.
“Saya tidak kata saya betul atau salah tetapi harap perkara seperti ini tidak berulang kembali.
“Kepada sesiapa yang membuta-tuli menuduh dan menghukum saya, belajarlah untuk bertanya. Adakah awak ‘Tuhan’?,” katanya.
Bekas peserta Big Stage musim pertama itu juga turut menasihatkan kepada orang agar lebih berhati-hati menghasilkan kandungan kreatif bagi mengelakkan menyinggung perasaan mana-mana pihak.
“Sebelum buat sebarang video, pandang kiri, kanan, depan dan belakang supaya tidak beri kesan kepada orang lain.
“Satu lagi, sentiasa beri keutamaan kepada golongan OKU ketika berada di luar ya,” ujarnya panjang lebar.
Andi menerima kecaman selepas dia memuat naik sebuah video yang memaparkan aksinya menyentuh hidung menggunakan kaki yang dilihat seolah-olah menghina golongan OKU.
Semalam, Kosmo! melaporkan Baby Shima memohon maaf atas kesilapannya meniru pergerakan Zhariff yang dilahirkan tanpa kedua-dua tangan menerusi satu hantaran video di aplikasi TikTok, baru-baru ini.
Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli berkata, dia sudah memadam video berkenaan dan menjelaskan ia dilakukan tanpa sengaja tanpa menyedari Zhariff seorang OKU.