KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 21 Mei ini bagi mendengar permohonan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Ab. Samad untuk memindahkan perbicaraan kesnya melibatkan tuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta, ke Mahkamah Tinggi.
Shahrir, 72, didakwa gagal mengisytiharkan wang yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas membenarkan penangguhan yang dipohon oleh pihak pendakwaan.
Sementara itu, perbicaraan yang sepatutnya didengar di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi pada 22 dan 23 April ini, ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonan tersebut.
Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk pendengaran permohonan Shahrir untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun, Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Afif Ali dan Natrah Fareha Rahmat memohon penangguhan atas alasan pihak pendakwaan perlu memberi maklum balas terhadap satu notis usul yang difailkan oleh pemohon (Shahrir) pada 23 Mac lalu.
Menurut mereka, pihak pendakwaan perlu membalas fakta baharu dalam afidavit tambahan yang dimasukkan oleh Shahrir bagi menyokong notis usul tersebut.-K! ONLINE