PETALING JAYA – Seorang pekerja syarikat penghantaran maut selepas motosikal yang ditunggang merempuh sebuah kereta menyebabkannya tercampak dan terkena tayar lori di Jalan Langkawi, Setapak dari arah Jalan Taman Ibu Kota menghala ke Jalan Gombak, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.19 petang, mangsa yang berusia 19 tahun dan beralamat di Apartment Teratai Mewah itu mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku melibatkan tiga kenderaan.
Katanya, kemalangan berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa telah merempuh bahagian belakang kereta jenis Honda Jazz di lorong kiri jalan.
“Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa tercampak ke lorong sebelah kanan dan terkena bahagian tayar hadapan sebelah kiri lori yang sedang bergerak di lorong kanan.
“Ekoran kemalangan itu, mangsa cedera parah dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu kedua-dua kenderaan berusia 44 dan 55 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, mayat mangsa telah dibawa ke Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan proses bedah siasat akan dibuat setelah keputusan ujian Covid-19 diperoleh.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – K! ONLINE.