MENYINGKAP rahsia dan kisah perjalanan selebriti popular tanah air yang kebanyakannya tidak pernah diceritakan kepada umum menjadi intipati untuk sebuah program baharu berjudul Media Hiburan Throwback (MHT) terbitan Astro Prima dengan kerjasama Nu Ideaktiv Sdn. Bhd. yang mula menemui penonton sejak 24 Mac lalu.
Program tersebut merupakan rancangan temu bual eksklusif berkonsepkan santai yang membariskan penampilan seramai 15 orang selebriti popular tanah air.
Menariknya, semua selebriti yang menjayakan musim kali ini pernah muncul sebagai wajah penghias muka depan majalah Media Hiburan.
MHT merupakan rentetan daripada segmen MHThrowback yang diterbitkan awal tahun lalu secara versi digital dan disiarkan menerusi platform media sosial Media Hiburan.
Masih mengekalkan konsep asal, program tersebut kini ditambah baik dan disiarkan menerusi televisyen dengan menampilkan penyampai radio Radin Amir Affendy selaku hos sepanjang 13 episod bersiaran.
Selebriti yang tampil dalam setiap episod dikejutkan dengan keratan artikel majalah berserta gambar lama mereka yang diambil daripada arkib Media Hiburan.
Untuk musim pertama, program tersebut membariskan 15 selebriti popular antaranya Rita Rudaini, Datuk Rosyam Nor, Erra Fazira, Akim dan Stacy, Didie Alias, Linda Onn, Faizal Hussein, Ifa Raziah, Norman Hakim dan Marsha Milan.
Antara kisah menarik selebriti yang dibongkarkan dalam MHT adalah cerita tentang aktor Faizal Hussein yang terpaksa mengambil sedikit waktu untuk bersendirian selepas kehilangan bapa tercinta.
Malah, dia juga mendedahkan pernah ‘mengganggu’ set penggambaran filem Laksamana Do Re Mi yang menyaksikan dirinya dapat berjumpa dengan seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee buat pertama kali.
Selain itu, pelakon dan pengacara Norman Hakim turut mendedahkan bagaimana isterinya, Memey Suhaiza mula berbaik dengan bekas isteri, Abby Abadi selepas hubungan mereka berdepan pelbagai kemelut dan kontroversi suatu ketika dahulu.
Imbau sejarah
Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd. Salleh, media cetak seperti majalah dan surat khabar merupakan medium perantara paling utama untuk peminat mendekati artis pujaan serta mengetahui pelbagai perkongsian kisah peribadi eksklusif suatu ketika dahulu sebelum wujudnya media sosial pada hari ini.
Meskipun zaman sudah berubah dan manusia mula bergantung kepada media sosial untuk mendapatkan pelbagai maklumat, namun kualiti perkongsian dalam medium media cetak masih mempunyai kekuatan tersendiri untuk divisualkan menerusi format tayangan televisyen.
“Reputasi majalah Media Hiburan sebagai sebuah jenama terkenal di negara ini tidak perlu dipertikaikan lagi. Sehubungan itu, kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Nu Ideaktiv untuk menerbitkan program baharu buat penonton setia.
“Sekali gus peminat dapat mengimbau nostalgia artis pujaan menerusi MHT. Pelbagai kisah menarik selebriti popular tanah air akan dibongkarkan menerusi arkib majalah Media Hiburan,” katanya.
Program MHT yang berdurasi selama 30 minit setiap episod bersiaran setiap hari Rabu pada pukul 9 malam di saluran Astro Prima (125) dan Astro Prima HD (105).
Malah, program berkenaan juga boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan perkhidmatan On Demand untuk pilihan tontonan yang lebih fleksibel.