WALAUPUN tewas 25-67 kepada Kuala Lumpur (KL) Wildcats pada aksi Kumpulan A Netball Super League (NSL) di Stadium Juara, Bukit Kiara malam kelmarin, namun keputusan itu langsung tidak melemahkan semangat para pemain Perak Phoenix untuk kembali bangkit.
Pemain di posisi Goal Defend (GD) Perak, Nurul Huda Mohd. Sazali berkata, meskipun menentang KL yang dianggap sebagai pasukan pilihan, namun ia tidak mematahkan semangat dia dan rakan sepasukan.
Sebaliknya, pemain-pemain Perak dilihat tidak berputus asa sepanjang perlawanan dalam usaha merapatkan kedudukan dengan skuad warga kota itu.
“Sebenarnya kami tidak bimbang sangat dengan barisan serangan KL malam ini (kelmarin) tetapi mereka dilihat lebih kuat pada bahagian pertahanan kerana dibarisi ramai pemain kebangsaan.
“Apabila bertemu KL, sudah tentu tekanan sentiasa ada, namun kami masih boleh atasi. Walaupun jauh ketinggalan tetapi kami sentiasa berusaha untuk rapatkan jurang mata,” katanya.
Pada masa sama, Huda juga mengakui kata-kata semangat serta perubahan taktikal yang dilakukan jurulatih, Almastara Mohd. Hasim meniup semangat pemain-pemain Perak pada suku masa keempat.
Selain itu, kemasukan pemain-pemain baharu juga menyebabkan Perak dilihat lebih agresif cuba melakukan serangan ke arah kubu pertahanan KL.
“Kami bermain lebih semangat pada suku masa keempat selepas berbincang dengan jurulatih selain kemasukan pemain-pemain gantian. Saya gembira kerana kami dapat tambah jaringan pada suku masa terakhir itu,” ujarnya.
Sebagai rekod, Perak kini menghuni tangga kedua saingan Kumpulan A selepas mengumpul sembilan mata hasil tiga kemenangan serta dua kalah.