LOSAIL – Kekecewaan melanda pelumba pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing (SRT), Valentino Rossi apabila sekadar menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Qatar awal pagi semalam di kedudukan ke-12.
Pada perlumbaan yang berlangsung di Litar Antarabangsa Losail itu, Rossi memulakan saingan di petak keempat, namun jenteranya berdepan masalah teknikal sehingga menyebabkan dia bergelut di kelompok belakang.
Juara dunia sembilan itu berkata, dia berdepan masalah pada tayar belakang sehingga menyebabkan dia gagal untuk mengekalkan kelajuan jentera.
“Sudah tentu kami jangkakan keputusan yang lebih baik, terutamanya selepas aksi kelayakan semalam (kelmarin). Saya akui jentera berdepan masalah dengan tayar belakang.
“Perkara ini juga berlaku pada sesi latihan bebas, namun gagal diatasi. Tayar belakang kurang mencengkam, jadi ia punca utama mengapa jentera tidak laju,” kata Rossi.
Tambah legenda MotoGP itu lagi, dia sudah menyuarakan masalah tersebut kepada kru pasukan dan berharap ia boleh diselesaikan menjelang perlumbaan akan datang.
“Selepas tamat perlumbaan, kami adakah satu perjumpaan pasukan. Saya sudah suarakan apa yang perlu diperbaiki dan diharapkan kami akan tampil lebih garang,” ujarnya. – AGENSI