PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, menguatkuasakan Akta Koperasi (pindaan 2021) yang akan diguna pakai bagi semua koperasi yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bermula 1 April ini.
Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, antara pindaan utama yang dibuat adalah berkaitan syarat bagi pendaftaran koperasi asas yang dipermudahkan di mana bilangan individu bagi tujuan pendaftaran, dikurangkan daripada 50 orang kepada 20 orang sahaja.
“Pindaan ini sangat bertepatan untuk menggalakkan golongan B40 terutamanya menceburi aktiviti perniagaan melalui koperasi.
“Dengan pindaan akta ini juga turut memudahkan lagi koperasi untuk menerima pembiayaan daripada mana-mana institusi kewangan di bawah seliaan Bank Negara Malaysia dan koperasi yang ditentukan oleh SKM tanpa perlu mendapatkan kelulusan SKM terlebih dahulu seperti sebelum ini, “katanya. menerusi hantaran Facebook hari ini.
Wan Junaidi berkata, beliau percaya, pindaan akta itu akan memberi impak positif, dinamik dan berdaya saing kepada masyarakat khususnya gerakan koperasi.
“Selain itu, ia bertepatan dengan sasaran sumbangan perolehan koperasi kepada ekonomi negara yang dianggarkan berjumlah RM100 bilion menjelang 2030,” katanya. K! ONLINE.