KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 25 Mei ini untuk keputusan permohonan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mendapatkan dokumen berkaitan pemecatannya, hampir tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah daripada kedua-dua belah pihak-pihak pada prosiding yang dijalankan secara atas talian hari ini.
Menurut peguam, Datuk Abduk Shukor Ahmad yang mewakili Mohamed Apandi, dokumen-dokumen tersebut tidak termaktub di bawah Akta Rahsia Rasmi dan bukannya rahsia kerajaan.
“Kami memohon kesemua dokumen termasuk dokumen yang dikeluarkan di antara Perdana Menteri (Tun Mahathir) dan kerajaan berkaitan dengan nasihat atau keputusan mereka membabitkan pemecatan Tan Sri Mohamed Apandi sebagai Peguam Negara,”ujarnya ketika dihubungi.
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Sahmasul Bolhassan ketika membantah permohonan tersebut menyatakan dokumen-dokumen yang dimohon adalah tidak relevan, tidak perlu dan tidak dinyatakan terperinci.
Disebabkan perincian dokumen yang dimohon tidak diperincikan dengan jelas, maka terdapat kemungkinan ada di antara dokumen-dokumen itu termaktub di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
Oleh itu, ujar Shamsul, permohonan tersebut adalah sesuatu yang membazirkan masa dan wajar ditolak.
Pada 11 Disember 2020, Mohamed Apandi memfailkan permohonan untuk mendapatkan dokumen berkaitan penamatan khidmatnya sebagai Peguam Negara dalam saman menuntut ganti rugi RM2.2 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai defendan.
Menurut afidavit yang difailkan, bekas Peguam Negara itu menyatakan dokumen itu berada dalam milikan, jagaan atau kuasa kedua-dua defendan dan perlu diberikan kepada untuk plaintif membuktikan tuntutan samannya.
Pada 13 Oktober tahun lalu, Mohamed Apandi memfailkan saman terhadap Tun Mahathir dan Kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua atas dakwaan bekas Perdana Menteri itu telah menyalahgunakan kuasanya sehingga menyebabkan beliau kehilangan jawatan tertinggi dalam Jabatan Peguam Negara, dua tahun lalu. K! ONLINE.