fbpx

21 majikan bakal berdepan tindakan mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, J Arul Kumar menunjukkan Garis Panduan Akta 446 bagi majikan dan status penguatkuasaan oleh JTK Negeri Sembilan. - FOTO : NOR SHAFAWATI YUP

SEREMBAN – Sebanyak 21 majikan di negeri ini bakal berdepan tindakan undang-undang selepas kertas siasatan ke atas mereka dibuka kerana didapati tidak mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, J. Arul Kumar berkata, setakat 23 Februari lalu, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Sembilan telah membuka 35 kertas siasatan ke atas majikan yang gagal mematuhi syarat atau garis panduan ditetapkan.

“Kebanyakan isu yang dibangkitkan ialah majikan gagal menyediakan bangunan penginapan tanpa perakuan daripada JTK Negeri (Seksyen 24D) dan tempat penginapan tidak sesuai diduduki oleh manusia mengikut undang-undang bertulis (Seksyen 24H).

“Sehubungan itu, satu mesyurat penyelarasan dipengerusikan oleh saya telah diadakan bersama Pengarah JTK Negeri Sembilan, S.Tharu Marajan bertujuan memastikan semua syarat yang dikenakan mengikut Akta 446 adalah sama antara semua jabatan terutama di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya tidak membebankan majikan semasa membuat permohonan untuk mendapatkan perakuan penginapan daripada JTK,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Negeri di sini hari ini.

Menurut Arul Kumar, di peringkat Negeri Sembilan satu garis panduan yang lebih jelas dan terperinci telah dikeluarkan pada 9 Disember 2020 untuk dipatuhi semua majikan memandangkan banyak aduan diterima untuk permohonan sejak Akta 446 dikuatkuasakan 1 September 2020.

“Buat masa ini, JTK memberi perakuan penginapan kepada semua bangunan berstatus kediaman seperti rumah teres, apartmen dan flat dengan mengikut semua perakuan yang dijelaskan dalam Akta 446.

“Bagi bangunan berstatus bukan kediaman seperti rumah kedai, kedai pejabat dan lain-lain, majikan perlu memohon Kebenaran Merancang (KM) terhad untuk menjadikan tempat tersebut sebagai tempat penginapan,” katanya.

Beliau berkata, bagi bangunan seluas 3,000 kaki persegi dan ke bawah pemohon boleh melantik pelukis pelan berdaftar manakala bangunan seluas 3,000 kaki persegi ke atas pemohon perlu melantik arkitek berdaftar. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI