KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak pernah berbangga dengan pertambahan bilangan notis saman kesalahan trafik yang dikeluarkan oleh jabatan itu kepada pengguna jalan raya di seluruh negara setiap tahun.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, jabatan itu wujud bukan semata-mata untuk menghukum orang ramai, sebaliknya bertujuan memastikan pengguna jalan raya supaya mematuhi undang-undang.
“Saya tidak bangga dengan kes notis saman yang banyak, sebaliknya saya bangga apabila kutipan itu berkurangan.
“Ini bermakna, orang ramai telah mematuhi peraturan, sekaligus kes kemalangan juga akan berkurangan dari masa ke semasa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Setia JPJ di Pejabat JPJ Panji di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah JPJ Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf.
Dalam perhimpunan itu, Zailani turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 10 pengamal media cetak dan elektronik di Kelantan.
Dalam pada itu, Zailani mengingatkan anggota JPJ supaya mengutamakan integriti susulan penahanan kakitangan jabatan itu di beberapa negeri sepanjang bulan ini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau berkata, tangkapan itu merupakan hasil kerjasama antara pihak JPJ dan SPRM dalam usaha memastikan jabatan berkenaan sentiasa bersih daripada sebarang elemen salah guna kuasa serta gejala rasuah.
Akhbar Kosmo! sebelum ini melaporkan, SPRM menahan 44 individu termasuk 32 pegawai JPJ kerana dipercayai terlibat dalam sindiket melindungi pemandu lori yang menyalahi undang-undang jalan raya melibatkan jumlah rasuah RM1.64 juta.-K!ONLINE