PETALING JAYA – Seramai 44 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara kesalahan direkodkan ialah tiada penjarakan fizikal iaitu sebanyak 39 kes dan gagal menyediakan peralatan atau merekod diri atau pelanggan (3).
“Kesalahan lain ialah rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (1) dan tidak memakai pelitup muka (1).
“Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 64,528 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ismail Sabri, seramai 3,318 Pasukan Pematuhan melibatkan 14,761 anggota telah membuat pemantauan di 5,635 buah restoran, pasar raya (4,712), bank (3,895), penjaja (2,633), pasar awam atau tani (2,408), kilang (2,182) dan pejabat kerajaan (740).
“Turut dipantau ialah tempat ibadah (3,316), tempat riadah (1,685), terminal pengangkutan darat (1,407), terminal pengangkutan air (481) dan terminal pengangkutan udara (153),” katanya.
Sementara itu, katanya, seramai tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap manakala sebuah kenderaan darat serta bot atau kapal telah dirampas menerusi Op Benteng.
“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 98 buah bot atau kapal di perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan.
“Seramai lima orang PATI turut diusir melalui dua aktiviti pengusiran,” katanya yang turut memberitahu, sebanyak 259 Sekatan Jalan Raya dilaksanakan semalam. – K! ONLINE.