MILAN – Jurulatih Inter Milan, Antonio Conte menganggap tekanan yang diberikan Atalanta bagi merebut tempat kedua saingan Serie A sebagai sesuatu yang positif.
Pada perlawanan yang berlangsung awal pagi semalam di San Siro, Inter terus menghidupkan peluang untuk menamatkan saingan musim ini sebagai naib juara selepas menang 2-0 ke atas Napoli.
Meskipun Napoli dilihat lebih banyak menguasai perlawanan, namun Inter berjaya melakar kemenangan menerusi jaringan yang dilakukan Danilo D’Ambrosio dan Lautaro Martinez.
“Kami menentang Napoli yang dianggap sebagai sebuah pasukan kuat, satu-satunya pasukan yang sentiasa memberi saingan kepada Juventus serta dibarisi pemain-pemain terbaik.
“Inter berhak diberikan pujian atas kemenangan hari ini (semalam). Bagaimanapun, tugas kami belum selesai kerana Atalanta juga menang ke atas Parma,” kata Conte.
Justeru, Inter menggalas misi penting pada perlawanan terakhir Serie A Ahad ini apabila berdepan Atalanta bagi aksi penentuan naib juara liga.
“Walaupun ia hanyalah penentuan tempat kedua tetapi saya anggap ia perlawanan yang sangat penting. Semua pemain perlu membiasakan diri dengan tekanan seperti ini,” ujarnya. – AGENSI