GUA MUSANG – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang merekodkan sebanyak 89 kes sindiket penipuan Macau Scam melibatkan jumlah kerugian RM1.3 juta di daerah ini sepanjang tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini pula, sebanyak 26 laporan diterima dengan rekod kerugian lebih RM123,000 berbanding dalam tempoh yang sama tahun lalu sebanyak 21 laporan dengan kerugian lebih RM385,000.
Katanya, perasaan takut dan mudah percayai orang lain merupakan penyebab utama kebanyakan mangsa di kawasan luar bandar mudah terperdaya dengan taktik penipuan penjenayah.
“Kita berharap masyarakat tidak menjawab sebarang panggilan yang tidak dikenali dan memindahkan duit ke dalam akaun berkaitan dengan mudah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang di IPD Gua Musang, di sini hari ini.
Terdahulu, majlis penyerahan tugas dilakukan Ketua Bahagian Pengurusan Daerah, Asisten Superitendan Siti Nazurah Ismail kepada Deputi Superintendan Azmi Mokhtar yang berkhidmat selama 34 tahun dalam Polis Diraja Malaysia sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang berkuatkuasa hari ini.-K!ONLINE