GUA MUSANG – Seorang lelaki warga emas Orang Asli yang sesak nafas terpaksa dibawa Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut dengan menaiki helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini.
Lelaki berkenaan, Ajam Along, 74, tinggal di Kampung Tendrik, Pos Bihai di sini tidak boleh dibawa ke hospital dengan menggunakan jalan darat ekoran laluan balak yang menjadi nadi perhubungan penduduk rosak sejak beberapa bulan lalu.
Pegawai Perhubungan Awam Pangkalan Udara JBPM Subang, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Farhan Marzuki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk melakukan operasi pemindahan perubatan (Medevac).
Katanya, pihaknya berlepas dari Pangkalan Udara JBPM Bertam, Pulau Pinang dengan pesawat Agusta Westland 139 pada pukul 11.01 pagi dan tiba kira-kira 50 minit kemudian.
“Warga emas itu sudah berada dalam keadaan lemah selain tidak boleh berjalan dan perlu diangkat menggunakan pengusung.
“Sebaik sahaja mendarat di Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada pukul 12.16 tengah hari, dia ditemai seorang anak saudaranya telah dihantar ke hospital menggunakan jentera yang disediakan JPBM,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Tambah Mohd. Farhan, penerbangan Medevac itu merupakan kali yang ke-18 bagi tahun ini untuk menyelamatkan pesakit Orang Asli ke hospital selepas jalan balak tidak dapat dilalui akibat berlaku kerosakan.-K!ONLINE