fbpx

Undi18: NGO sedia serah memorandum kepada YDPA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zambri (kiri) menunjukkan memorandum tuntutan kepada SPR supaya menyegerakan perlaksanaan UNDI 18 di Ibu Pejabat SPR, di sini, hari ini. - Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Gabungan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) seluruh Malaysia akan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik dan Undi18 dilaksanakan segera.

Tindakan itu dilakukan ekoran Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Malaysia selaku badan bertanggungjawab dilihat tidak komited melaksanakannya walaupun telah mendapat kelulusan Parlimen pada 2019.

Pengerusi Keilmuwan Nasional, Zambri Mat Isa berkata, pendaftaran Pemilih Automatik dan Undi18 yang telah diluluskan secara sebulat suara di Dewan Rakyat serta mendapat persetujuan lebih dua pertiga di Dewan Negara ketika Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 dibentangkan pada tahun 2019.

“Kami hadir membawa suara anak muda agar mereka diberikan hak mengundi sebagaimana yang telah diputuskan namun SPR tidak mengambil berat keputusan ini.

“Pengundi muda harus diberi keutamaan kerana mereka sudah bersedia, SPR perlu laksanakan tanggungjawab dengan penuh integritri dan jangan takut,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyerahkan memorandum desakan kepada SPR agar pendaftaran pemilih automatik dan Undi18 dilaksanakan segera di pejabat SPR, Putrajaya hari ini.

Memorandum berkenaan telah diterima Ketua Unit Komunikasi Korporat SPR, Mohammad Azlan Charles Abdullah.

Katanya, jika SPR terus dengan keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan kedua-dua perkara tersebut, pihaknya akan memanjangkan memorandum itu kepada YDPA agar Seri Paduka Baginda dapat mengeluarkan titah supaya SPR menghormati keluhuran Perlembagaan di negara ini.

Sementara itu, Pemangku Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Fahami Ashrof Badaruddin menjelaskan pendaftaran itu perlu dilaksanakan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi memastikan hak belia berusia 18 hingga 20 tahun seperti yang telah diperuntukkan dapat dipertahankan.

Katanya lagi, jika pendaftaran tidak dapat dilaksanakan menjelang PRU-15, ini bermakna SPR telah menafikan hak 1.2 juta orang belia berusia antara 18 hingga 20 tahun untuk menentukan masa depan mereka dengan memilih kerajaan pada pilihan raya itu.

“Penangguhan ini juga seolah-olah satu penghinaan besar kepada kemuliaan Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebagai badan perundangan bagi Kerajaan Persekutuan yang melulus dan meminda undang-undang Persekutuan,” jelasnya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI