KLUANG – Seorang warga emas terpaksa mendapatkan bantuan bomba apabila tersangkut lebih 20 minit di atas pokok rambutan dalam kejadian di Jalan Suria 4 di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa yang berusia 66 tahun mengalami kecederaan pada bahagian kaki kanan.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Noorhakim Mohd. Nordin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.38 berhubung kejadian itu.
Menurutnya, sebuah jentera dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat ( BBP) Kluang dihantar ke lokasi kejadian.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, didapati mangsa tersangkut diatas dahan pokok rambutan pada ketinggian 3.5 meter.
“Anggota bomba bertindak memotong dahan tersebut menggunakan parang dan setelah kerja pemotongan selesai dilakukan mangsa dibawa turun dengan selamat menggunakan tangga,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Norhakim, operasi ditamatkan pada pukul 10.18 pagi.-K! ONLINE