MANCHESTER – Pemain tengah Manchester United, Jesse Lingard mendedahkan bahawa dia berdepan tempoh sukar dalam kariernya sepanjang musim ini sehingga menjejaskan keseluruhan aksinya.
Pada perlawanan terakhir kempen musim ini menentang Leicester City Ahad lalu, Lingard berjaya menjaringkan gol kedua ketika United mencatat kemenangan 2-0 sekali gus menjadi gol pertamanya sepanjang 38 perlawanan Liga Perdana Inggeris.
Gol yang dijaringkan Lingard pada minit ke-98 itu menyaksikan United berjaya mengesahkan slot ke saingan Liga Juara-Juara musim depan selepas menamatkan aksi di kedudukan ketiga liga.
“Ia musim yang sangat sukar kerana beberapa sebab. Saya hilang identiti sebagai seorang manusia dan pemain bola sepak tetapi saya tidak pernah berputus asa.
“Saya perlu bekerja lebih keras berbanding sebelum ini. Orang yang berada di sekeliling telah memberikan sumbangan yang terbaik untuk saya kembali ke tempat di mana saya patut berada.
“Saya sedar ramai peminat yang kecewa dengan apa yang telah berlaku tetapi kecintaan terhadap kelab ini dan para peminat tidak pernah pudar,” katanya.
Lingard berjaya meledak gol tunggalnya musim ini ekoran kesilapan yang dilakukan oleh penjaga gol Leicester, Kasper Schmeichel yang gagal melepaskan sepakan sebelum bola tersebut ditampan pemain berusia 27 tahun itu yang mudah menolak masuk ke gawang untuk mengesahkan kemenangan United pada aksi tersebut. – AGENSI