GEORGE TOWN – Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memboikot sesi libat urus ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) bersama barisan ADUN yang bermula hari ini.
Keempat-empat ADUN dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan mereka boikot sesi berkenaan hari ini.
Mereka ialah Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya), Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md. Lazim (Teluk Bahang).
Menurut kenyataan tersebut, mereka memboikot sesi itu berikutan tindakan berat sebelah pimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang yang menarik balik peruntukan yang telah diluluskan pada 20 Januari lepas kepada ADUN-ADUN pembangkang berjumlah RM 60,000 menerusi surat yang dikeluarkan 19 Februari lalu.
“Peruntukan tersebut amat penting untuk setiap ADUN bagi melaksanakan projek infrastruktur kemudahan rakyat dan awam.
“Namun, kerajaan negeri mengambil pendekatan untuk bermain politik dan tidak profesional terhadap ADUN pembangkang tanpa menghiraukan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh rakyat pada hari ini,” katanya di sini hari ini.
Sesi Libat Urus berkenaan berlangsung selama dua hari bermula hari ini di mana setiap Exco akan mengemaskini perkembangan dan pelaksanaan dasar dan projek di bawah portfolio masing-masing.
Sesi berkenaan diadakan berikutan penggantungan Dewan Udangan Negeri (DUN) yang sepatutnya berlangsung April ini susulan pengisytiharan Proklamasi Darurat yang diumumkan oleh Kerajaan Pusat.
Sementara itu, ADUN UMNO dan Pas hadir pada sesi berkenaan yang bermula 9 pagi.
Ketua Pembangkang, Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor (Sungai Dua-UMNO), Nor Hafizah Othman (Permatang Berangan-UMNO) dan Mohd Yusni Mat Piah (Penaga-Pas) dilihat hadir pada sesi tersebut. – K! ONLINE