fbpx

Pegawai Perikanan didakwa salah guna kuasa, luluskan tender adik ipar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Rafi Hassan didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan kuasa dengan meluluskan tender syarikat milik adik iparnya dua tahun lalu.- Foto ZULHANIFA SIDEK

KOTA BHARU – Seorang Pegawai Perikanan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan kuasa dengan meluluskan tender pembekalan tangki akuakultur bernilai RM71,694 kepada syarikat milik adik iparnya dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Rafi Hassan, 56, yang bertugas di Jabatan Perikanan Putrajaya bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dihadapan Hakim Zaman Mohd. Noor.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menggunakan jawatan sebagai Ketua Cawangan Akuakultur di Pejabat Perikanan Kelantan untuk mendapatkan suapan apabila meluluskan tender bagi membekal dan menghantar tangki akuakultur.

Tender itu diluluskan kepada pemilik YY Indah Enterprise iaitu Yusneffa Yahya yang merupakan adik iparnya dengan nilai pembekalan sebanyak RM71,694.

Kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh di Pejabat Perikanan Kelantan, Kota Bharu pada 12 Mei 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam, Cheah Poh Loon.

Terdahulu, Nor Hamizah meminta jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan ditawarkan kepada tertuduh.

Poh Loon dalam rayuan memohon jaminan sebanyak RM5,000 hingga RM8,000 memandangkan anak guamnya masih bertugas sebagai pegawai Jabatan Perikanan di Putrajaya.

“Sebubungan dengan itu, tiada sebab untuk tertuduh tidak memberi kerjasama kepada mahkamah. Jadi, saya mohon jaminan yang rendah dikenakan terhadap anak guam saya,” katanya.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport dan melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap awal bulan.

Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan dan kes disebut semula pada 18 Mei depan.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI