BACHOK – Niat murni dua lelaki yang cuba menyelamatkan dua kanak-kanak lemas di Pantai Kandis, Pulau Kambing di sini semalam tidak kesampaian apabila mereka terkorban dalam kejadian petang semalam.
Dalam kejadian pada pukul 5 petang itu, mayat pesara tentera, Juhairohafizan Juhari, 35 dan Mohd. Sahudin Mat Shah, 46, yang merupakan seorang pemandu lori ditemui di pantai itu di dua lokasi berbeza.
Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Superintendan Mohd. Yusrizal Mohd. Ghazali berkata, mayat Juhairohafizan ditemui pada pukul 2.50 pagi tadi manakala Mohd. Sahudin dijumpai pada pukul 6.50 petang semalam.
Katanya, seorang kanak-kanak, Muhammad Aman Firas Aman Syah,12, yang merupakan mangsa awal kejadian itu ditemui dalam keadaan selamat oleh nelayan kira-kira enam jam selepas kejadian.
Ujarnya, siasatan awal mendapati, Mohd. Sahudin bersama tiga orang anak dan sembilan orang anak-anak jirannya pergi ke Pantai Kandis pada pukul 5 petang semalam.
“Ketika sedang bermandi-manda, pemandu lori itu melihat anaknya berusia 12 tahun dan Muhammad Aman Firas hampir lemas dengan berpaut pada pelampung gabus sebelum mereka dihanyut ke tengah laut akibat dibawa arus ombak.
“Mangsa bertindak terjun ke laut dan berjaya menyelamatkan anaknya. Bagaimanapun, dia gagal menyelamatkan Muhammad Aman Firas yang telah hanyut ke tengah laut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Mohd. Yusrizal, melihat kepada keadaan itu, Juhairohafizan datang untuk membantu kedua-dua mangsa, namun dia turut dihanyutkan ombak deras sebelum lemas.
Katanya, mayat Mohd. Sahudin ditemui oleh pihak bomba kira-kira 120 meter dari kawasan pantai manakala Juhairohafizan pula dijumpai 50 meter dari lokasi kejadian.
Ujarnya, Muhammad Aman Firas pula ditemui dalam keadaan selamat oleh nelayan-nelayan yang membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 11 malam.
“Kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk rawatan lanjut.
“Kedua-dua mangsa yang disahkan meninggal dunia dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk proses bedah siasat,” katanya.
Menurut Mohd. Yusrizal, SAR kes itu ditutup pada pukul 4 pagi tadi dan kedua-dua kes kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut.-K!ONLINE