fbpx

Hoki: Peluang seimbang Blue Warriors, PKS Uniten

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAPTEN Blue Warriors, Wan Norfaiezah (kiri) dikejar tiga pemain PKS Uniten pada separuh akhir Piala Vivian May Soars di Stadium Hoki Nasional sebentar tadi.

KUALA LUMPUR – Naib juara Liga Hoki Wanita Malaysia musim ini, Blue Warriors mensia-siakan kelebihan dua gol apabila seri 3-3 dengan PKS Uniten-KPT pada separuh akhir pertama Piala Vivian May Soars di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.

Pasukan hoki wanita dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu perlu menyalahkan diri sendiri kerana membenarkan PKS Uniten bangkit menyamakan kedudukan dengan dua gol pantas dalam tempoh tiga minit.

Ia secara tidak langsung kembali membuka peluang buat PKS Uniten menjelang aksi separuh akhir kedua pada Rabu ini yang berdepan misi mempertahankan kejuaraan Piala Vivian May Soars dimenangi mereka tahun lalu.

Dalam aksi itu, Blue Warrrios terlebih dahulu membuka tirai jaringan melalui Ellya Amanina Ellias pada minit ke-31 sebelum Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad mengikat kedudukan buat PKS Uniten selang 10 minit kemudian.

Tersentak dengan situasi itu, Blue Warriors yang dikendalikan Ahmad Nizam Yusof menambah dua lagi gol hasil jaringan padang Nurfatin Dizana Mohd. Zaidi dan pukulan sudut penalti Wan Norfaiezah Md. Saiuti pada minit ke-42 serta 45.

Bagaimanapun, PKS Uniten yang di bawah bimbingan penolong jurulatih skuad wanita kebangsaan, Lailin Abu Hassan menunjukkan semangat tidak mudah menyerah kalah apabila bangkit menyamakan kedudukan tidak lama kemudian.

“Saya berbangga dengan semangat ditunjukkan para pemain yang bersungguh-sungguh untuk bangkit dalam perlawanan ini. Saya anggap keputusan seri ini sesuatu yang positif buat kami,” kata Lailin.

Dua gol terakhir PKS Uniten dijaringkan sekali lagi oleh Nurmaizatul Hanim pada minit ke-46 sebelum kapten, Raja Norsharina Raja Shabuddin memanfaatkan pukulan sudut penalti tiga minit kemudian. – K! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI