GOMBAK – Tindakan tidak bermoral seorang lelaki meletakkan kamera tersembunyi untuk merakam aktiviti di dalam tandas wanita akhirnya mengundang padah apabila dia ditahan di sebuah kilang tempatnya bekerja di Taman Perindustrian Selayang, di sini pada 26 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pada 25 Mac lalu, ketika seorang wanita berusia 27 tahun yang bekerja di kilang tersebut masuk ke dalam tandas wanita dan dia terlihat satu objek mencurigakan di bawah sinki tandas berkenaan.
“Setelah diamati, objek tersebut merupakan kamera tersembunyi berbentuk seperti sebatang pen berwarna hitam dan mangsa bertindak membawa pulang ke rumah untuk pemeriksaan lanjut.
“Wanita itu kemudiannya mendapati terdapat beberapa rakaman video yang jelas memaparkan kemaluan serta mukanya termasuk beberapa rakan sekerja wanita yang lain dan mengesyaki kamera tersebut adalah milik seorang pekerja kilang sama yang dikenalinya,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Arifai, wanita berkenaan mengesyaki pen itu dimiliki individu dikenalinya kerana rakaman tersebut turut mengandungi paparan muka lelaki berkenaan yang dilihat sedang meletak dan mengambil kamera itu.
“Mangsa seterusnya memaklumkan penemuan itu kepada majikan yang seterusnya membuat laporan polis. Pada 26 Mac sekitar pukul 11 pagi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak telah pergi ke kilang tersebut dan memberkas suspek.
“Suspek merupakan lelaki tempatan berusia 41 tahun yang turut bekerja di kilang yang sama dan siasatan mendapati dia bertindak berseorangan meletakkan kamera di bawah sinki dalam tandas perempuan bagi tujuan rakaman video untuk kepuasan diri sendiri dan mengaku berbuat demikian sejak awal Mac lalu,” katanya.
Tambah Arifai, pihaknya turut merampas satu unit kamera berbentuk pen berwarna hitam serta sekeping kad memori dan siasatan berhubung kes tersebut dijalankan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang dan kini dibenarkan reman selama empat hari mulai 27 hingga 30 Mac ini untuk siasatan lanjut,” tegas beliau. – K! ONLINE