BATU PAHAT – Seorang isteri terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti kerja bagi menjaga suaminya yang koma dan disahkan menghidap penyakit barah otak sejak akhir tahun lalu.
Norfadzilah Abdul Malek, 30, mengambil keputusan berhenti kerja sebagai kakitangan syarikat swasta sejak Disember tahun lalu bagi menjaga suami, Muhammad Hatta Jahidin, 40, serta tiga lagi anak mereka yang masih kecil.
“Saya reda jika ini ujian yang diberikan kepada kami sekeluarga. Saya tetap menyayangi dia dan sanggup menjaganya sepenuh jiwa dan raga saya hingga akhir hayat.
“Saya juga perlu menjaga tiga lagi anak yang masih bersekolah masing-masing berumur 12 dan sembilan tahun serta bayi berumur 10 bulan,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Kluang, Rengit di sini baru-baru ini.
Norfadzilah berkata, dia memperoleh pendapatan tidak menentu hasil menjual kuih kapit secara kecil-kecilan dari rumahnya.
Jelasnya, dia bagaimanapun bersyukur kerana menerima bantuan daripada daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal sebanyak RM500 dan RM300 sebulan.
“Suami bergantung kepada susu khas untuk makan dan kosnya agak tinggi serta setiap bulan suami perlu mendapatkan rawatan di hospital, malah terpaksa menyewa ambulans yang agak mahal.
“Saya juga perlu membeli susu, lampin pakai buang suami dan anak-anak serta barangan keperluan keluarga,” katanya.
Menurut Norfadzilah, dia tidak mampu berkerja dan duit digunakan untuk membeli susu, lampin pakai buang suami dan anak-anak serta kelengkapan keluarga.
“Pertubuhan Keselamatan Sosial ada menyumbangkan katil boleh laras dan kerusi roda untuk kegunaan suami,” katanya.
Sehubungan itu, Norfadzilah merayu kepada orang ramai supaya membantunya dengan menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB Norfadzilah Abdul Malek di 7617564611 atau hubunginya di talian 012 729 3550.