fbpx

Kisah perit hidup Killa Driz dalam lagu Siapa Tahu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KILLA DRIZ

BANYAK pengalaman yang dilalui oleh penyanyi baharu yang mahu dikenali dengan nama Killa Driz saat bergelumang dalam industri muzik indie sejak berusia 15 tahun. Pelbagai kisah pahit manis dilalui anak muda itu sehingga mematangkan dirinya.

Membuat persembahan tanpa bayaran, ditipu orang-orang terdekat dan banyak lagi perkara kurang manis terkena pada batang hidung sendiri banyak mematangkan kehidupan penyanyi itu.

Mengumpulkan segala duka dan perasaan galau, Killa Driz menyusun segenap rasa dalam lagu Siapa Tahu yang berentak hip hop.

“Saya buat sendiri lagu ini pada tahun lalu. Sebenarnya idea ini datang daripada kisah yang saya hadapi selama ini. Terlalu banyak peristiwa yang perit bermain dalam fikiran. Jadi saya fikir, lebih baik curahkan semuanya menjadi sebuah karya.

“Sudah tentu saya bersyukur kerana akhirnya dapat menyiapkan Siapa Tahu yang menceritakan isi hati dan perjalanan hidup saya selama ini. Harap karya saya dapat diterima ramai,” katanya yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor.

PERNAH melalui turun naik dalam hidup mencetuskan idea untuk Killa Driz menumpahkan segala rasa dalam singlenya berjudul Siapa Tahu.

Bercerita kisah sebenar yang terjadi kepadanya, Killa Driz mengakui sudah lali berdepan sepak terajang hidup saat bergelumang dalam kancah muzik indie sebelum ini.

Paling berbekas dalam hati anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik itu apabila ditipu selepas membuat persembahan apabila tidak menerima sebarang bayaran. Tidak cukup dengan itu, undangan persembahan juga pernah dibatalkan pada saat akhir meskipun dia sudah tiba di lokasi.

“Apabila mereka dapat penyanyi lain yang popular, mereka tolak saya disebabkan tidak ada nama. Saya sudah biasa lalui perkara sebegitu termasuklah kawan-kawan yang lain. Apabila dikenangkan semula, semuanya saya anggap sebagai pengalaman yang mematangkan.

“Itu belum lagi dikira tentang ada pihak yang mengambil kesempatan dan sebagainya. Sebab itu saya tulis lagu Siapa Tahu berdasarkan pengalaman tersebut dan berharap dapat memberikan sesuatu kepada pendengar,” tambahnya lagi.

Mengakui lagu tersebut masih mengekalkan sentuhan indie sebelum beralih sepenuhnya kepada muzik arus perdana, Killa Driz tetap meletakkan harapan agar karyanya akan diterima baik oleh peminat termasuklah golongan yang meminati muzik indie. Pada masa sama, tidak terlalu asing untuk pendengar muzik arus perdana.

MASIH mengekalkan elemen muzik indie dalam lagu, Killa Driz bagaimanapun berhasrat untuk turut menembus pasaran arus perdana.

Menjadikan beberapa nama besar seperti Joe Flizzow, SonaOne dan Altimet sebagai inspirasi untuk berkarya, anak muda itu berharap dapat mengikut jejak langkah idolanya untuk terus menerobos industri seni tanah air menerusi pelbagai kejayaan suatu masa nanti.

Sepanjang melibatkan diri dalam bidang nyanyian, Killa Driz pernah menghasilkan beberapa buah lagu antaranya Jaga, Menunggumu, Untited 01, Gadai dan Racts.

Menariknya, Gadai pernah dijadikan runut bunyi (OST) untuk sebuah filem.

Sedikit perkembangan terkini, penyanyi itu baru sahaja menyiapkan proses rakaman sebuah lagu bersama Ryan Deedat yang akan dikeluarkan tidak lama lagi. Dia juga akan terlibat dalam sebuah projek menghasilkan EP bersama penyanyi Ismail Izzani.

Siapa Tahu dilancarkan secara rasmi pada 19 Mac lalu menerusi semua plaform digital, sementara video muziknya pula tersedia dalam YouTube rasmi Indigital Music.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI