KAHERAH – Ketua Penguasa Terusan Suez, Leftenan Jeneral Osama Rabei mendedahkan angin kencang bukan satu-satunya penyebab kapal kontena Ever Given tersasar dari laluannya, lapor akhbar Daily Mail, kelmarin.
Dalam satu sidang akhbar kelmarin, beliau memberitahu bahawa siasatan sedang dijalankan dan tidak menolak perkara itu berpunca daripada kesilapan manusia atau teknikal.
Osama berkata, beliau tidak dapat meramalkan bila kapal tersebut dapat dialihkan.
Beliau turut berharap kapal tersebut dapat dibebaskan tanpa perlu membuang kargonya dan menambah kesukaran kesemua pihak yang telah terlibat.
Dalam pada itu, pemilik Ever Given, Shoei Kisen berkata, sedang mempertimbangkan untuk membuang kontena jika usaha-usaha yang diambil untuk mengapungkan kapal itu gagal.
Kapal kontena besar milik Panama itu tersadai sejak Selasa dan mengakibatkan kesesakan lalu lintas marin yang teruk di Terusan Suez.
Usaha menyelamat sedang dilakukan dengan kapal kargo bernilai jutaan dolar tidak meneruskan pelayaran ke destinasinya dan melibatkan pembekal syarikat-syarikat besar seperti Ikea.
Sebanyak 321 kapal tangki dan kapal kargo kini menunggu untuk melintasi Terusan Suez yang sudah enam hari terhalang oleh Ever Given.
Setakat ini, usaha pihak berkuasa gagal mengalihkan Ever Given sepanjang 400 meter yang tidak berganjak dari kedudukannya sekitar lima kilometer dari arah menuju pintu masuk terusan berhampiran bandar Suez.
Ketua Pegawai Eksekutif Boskalis,Peter Berdowski, firma penyelamat yang diupah untuk mengambil Ever Given, mengatakan syarikat itu berharap dapat menarik kapal kontena itu dalam masa beberapa hari menggunakan kombinasi kapal tunda berat, kapal keruk dan air pasang.
Sejak laluan itu terhalang, kesesakan lalu lintas maritim telah meningkat kepada lebih 320 kapal yang menunggu di kedua-dua hujung terusan di tengah jalan air
Tasik Great Bitter yang bersambung dengan Laut Mediterranean dan Laut Merah melalui Terusan Suez.
Menurut laporan jurnal berita Lloyd’s List, gangguan perjalanan itu mengakibatkan kerugian mencecah AS$400 juta (RM1.6 bilion) sejam.
Tambah Lloyd’s List, anggaran nilai barang yang dibawa kapal kargo itu mencecah AS$9.7 bilion (RM40 bilion) sehari.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak AS$5.1 bilion (RM2.1 bilion) dibawa oleh kapal dari timur ke barat dan AS$4.6 bilion (RM19 bilion) dibawa oleh kapal dari barat ke timur. – Agensi