MESKIPUN memiliki susuk tubuh genit dengan ketinggian 165 sentimeter, namun ia bukan penghalang kepada Nurfariha Abdul Razak untuk berkecimpung dalam arena bola jaring.
Meskipun sedar dirinya merupakan pemain paling rendah berbanding rakan seperjuangan, tetapi gadis manis berusia 26 tahun itu berjaya membuktikan dia layak mewakili pasukan kebangsaan.
Hasil sumbangannya, skuad bola jaring negara telah berjaya memenangi beberapa kejohanan utama peringkat Asia dan Asia Tenggara.
Bermain di posisi tengah, Nurfariha memiliki beberapa kelebihan yang tidak ada pada pemain lain sekali gus membolehkannya sering menjadi pilihan utama jurulatih untuk turun beraksi.
“Saya merupakan pemain paling pendek dalam skuad bola jaring kebangsaan. Namun ia bukan masalah memandangkan saya bermain di posisi tengah yang tidak memerlukan ketinggian.
“Sebaliknya, saya mememiliki kelebihan seperti kelajuan dan kekuatan fizikal untuk menguasai bola. Kelebihan ini yang melayakkan saya mewakili pasukan negara,” katanya ketika ditemu bual iGen baru-baru ini.
Antara kejayaan gemilang pernah diraih oleh anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu bersama skuad kebangsaan adalah pingat emas Sukan SEA pada tahun 2017 dan 2019.
Nurfariha juga berjaya membantu skuad negara memenangi Kejohanan Bola Jaring Asia 2016 yang berlangsung di Thailand.
Mengimbas kembali penglibatannya dalam sukan bola jaring, dia memaklumkan segalanya bermula ketika masih menuntut di sekolah rendah.
Jelas Nurfariha, bakatnya telah dikesan oleh seorang guru merangkap jurulatih bala jaring ketika berusia 10 tahun.
“Ketika di sekolah dahulu, saya sangat aktif dalam olahraga seperti lompat jauh dan lari pecut. Pada satu hari, seorang guru mempelawa saya menyertai pasukan bola jaring sekolah.
“Tidak sangka pula, bakat saya lebih menyerlah apabila menyertai sukan ini. Keadaan ini membuatkan saya terus berlatih dengan keras sehingga berjaya mewakili sekolah.
“Selepas itu, saya terpilih untuk mewakili negeri ke kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSN) pada usia 12 tahun,” ujar gadis yang masih belum berumah tangga itu.
Ketika kejohanan MSSN, bakat Nurfariha telah dikesan oleh jurulatih skuad remaja kebangsaan dan memanggilnya untuk membantu pasukan bawah 21 negara.
Selepas berjaya mencapai beberapa kejayaan peringkat remaja, khidmatnya mula ditagih oleh skuad senior kebangsaan bagi menghadapi beberapa kejohanan besar.
“Saya mewakili skuad senior pada 2015 dalam kejohanan Nation Cup di Singapura. Sebagai pemain paling muda ketika itu, saya banyak berada di bangku simpanan.
“Setiap kali diberikan peluang beraksi, saya akan memberikan prestasi terbaik sehingga berjaya disenaraikan dalam kesebelasan utama pasukan pada tahun 2017,” ujarnya.
Malangnya, Nurfariha telah mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) di kaki kiri pada tahun lalu sekali gus membuatkannya terpaksa berehat selama hampir setahun.
Selepas berehat panjang, dia telah kembali beraksi mewakili Johor dalam kejohanan julung kali diadakan iaitu Liga Super Bola Jaring (NSL) yang bermula pada awal bulan ini.
“Saya sangat teruja dapat kembali beraksi pada tahap tertinggi selepas berehat panjang akibat kecederaan ACL.
“Sasaran saya pada kejohanan ini adalah untuk mengembalikan prestasi sebenar bagi membantu negara melayakkan diri ke kejohanan Piala Dunia Bola Jaring,” tegasnya.
Selain hebat di gelanggang, Nurfariha juga cemerlang dalam pelajaran apabila menerima Anugerah Cemerlang Pingat Emas Tun Fatimah Hj. Hashim pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia ke-63 pada tahun 2019.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi itu turut menerima Anugerah Dekan daripada Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim.
Dia juga pernah menguak pintu industri hiburan tempatan apabila muncul dengan single pertama berjudul Sama-Sama bersama penyanyi Ryan Deedat pada 2018.
Dengan kelebihan yang ada, Nurfariha telah berjaya menambah hati pihak pengurusan saluran sukan tempatan Astro Arena untuk merekrutnya sebagai wartawan penyiaran.
Jelasnya, dia sangat berminat dengan dunia pengacaraan sejak beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan rasa selesa berada di depan kamera.
“Selepas menamatkan pengajian, saya berusaha mencari pekerjaan tetap sebelum dipelawa oleh seorang rakan untuk menjadi wartawan di Astro Arena.
“Disebabkan sukar mencari pekerjaan ketika itu, saya menerima tawaran berkenaan. Selepas dua bulan berkhidmat, saya berasa cukup selesa dengan kerjaya ini,” tegasnya.