fbpx

Fenomena e-Sukan Malaysia luar biasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
SOPI SAMAILE, PENGARANG SUKAN.

 

APABILA kebanyakan ibu bapa melihat atau mendengar anak-anak remaja bermain permainan video, mereka hanya mendengus bahkan ada yang menyifatkannya sebagai membuang masa dan tidak berfaedah.

“Permainan video hanya membuang masa untuk kanak-kanak, malah mereka akan merosakkan mata sebab terlalu lama terpaku di depan skrin komputer atau telefon bimbit,” kata sebahagian ibu bapa.

Meskipun ada pendapat menyifatkan permainan video mempu­nyai banyak aspek memudaratkan tubuh manusia jika bermain secara berlebihan, namun aktiviti serta industrinya tetap berkembang secara luar biasa di negara ini.

Contoh besar permainan video yang kini menjadi satu budaya baharu dalam kalangan generasi muda dan ramai pengikutnya adalah elektronik sukan (e-Sukan).

Bidang e-Sukan ini ibarat cendawan tumbuh selepas hujan kerana berkembang dengan sangat pantas bahkan menjadi daya tarikan kepada generasi baharu sekarang.

Malah, menjadi pemain profesional dalam permainan video sekali gus mampu menjana pendapatan bukan lagi impian mengarut, sebaliknya sudah menjadi fenomena masa ini.

Bukan omong kosong, tapi faktanya seorang remaja, Kyle Giersdorf yang berusia 16 tahun berjaya memenangi wang tunai AS$3 juta (RM12.75 juta) hanya daripada satu kejohanan di Amerika Syarikat pada tahun lalu.

Giersdorf yang dikenali sebagai Bugha di alam dunia e-Sukan berjaya menewaskan 40 juta pemain lain yang menyertai pertandingan permainan video secara online tersebut.

Itu cerita di luar negara, namun di Malaysia sendiri sebenarnya mempunyai ramai pemain permainan video profesional yang berjaya dan menjadikan bidang itu sebagai kerjaya.

Salah seorang daripadanya ialah Soloz atau nama sebenarnya, Fariz Zakaria, 27, ikon e-Sukan yang mempunyai populariti lebih hebat berbanding artis-artis di Malaysia.

Pasti ramai anak muda bercita-cita mahu berjaya seperti Soloz. Apa tidaknya, atlet e-Sukan ini telah menggemparkan peminatnya apabila membeli kereta idaman iaitu Ford Mustang berharga lebih setengah juta ringgit awal tahun ini.

Menariknya, Soloz hanya mengenakan selipar ketika berkunjung ke pusat pameran kereta mewah itu sebelum membeli kereta idamannya.

Baru-baru ini, Soloz melakukan penstriman langsung dan dia berjaya menarik sehingga sejuta tontonan dalam tempoh 12 jam sahaja.

Disebabkan inspirasi sebegitu, dunia e-Sukan di Malaysia terus berkembang kerana bilangan profesional dan peminat kedua-duanya semakin meningkat.

Seperti sukan bola sepak, e-Sukan bukan hanya mencetuskan perkembangan dalam kalangan pemain tetapi juga ribuan peminat yang sanggup memenuhi stadium sambil memakai jersi untuk menyokong ikon masing-masing.

Sudah tentu, sekarang ini acara sosial atau perhimpunan besar masih lagi tidak dibenarkan kerana wabak Covid-19, namun keindahan e-Sukan itu boleh ditonton secara online dari rumah masing-masing.

Begitu hebat perkembangan e-Sukan ini. Bukan sahaja tidak terkesan oleh Covid-19, namun signifikannya membantu e-Sukan melonjak tinggi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Meskipun banyak perkara dalam kehidupan terpaksa berubah kepada norma baharu akibat wabak Covid-19, namun e-sukan nam­paknya akan terus bercambah pada masa depan. K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI