KOTA BHARU – Selepas hampir 17 jam meloloskan diri, polis berjaya menjejak sebelum menangkap semula seorang banduan penjara Pengkalan Chepa di Kampung Terbak, Tumpat hari ini.
Suspek, Mohamad Soolleh Mohd.Noor, 31, yang melarikan diri kira-kira pukul 10 pagi semalam ditemui sedang menunggang sebuah motosikal jenis Honda EX5 kira-kira pukul 3 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, sewaktu tangkapan dijalankan, banduan itu sudah menunggang motosikal sejauh 25 kilometer dari penjara telah terbabas masuk ke dalam sebuah tali air ketika sampai di kampung berkenaan.
Katanya, suspek ditahan oleh sepasukan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Kota Bharu dan Tumpat kira-kira pukul 5 pagi.
“Sebelum itu, pihak polis telah mengekori suspek yang menunggang motosikal dari kawasan Masjid Kelaboran, Tumpat ke lokasi kejadian sebelum dia terbabas di dalam tali air.
“Polis telah menjalankan operasi mencari suspek di dalam tali air itu dan menemui lelaki itu kira-kira dua jam kemudian. Suspek dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Abdul Rahim berkata, polis sedang menyiasat sama ada motosikal yang digunakan suspek itu dicuri atau terdapat individu yang meminjamkannya kepada suspek. – K! ONLINE