KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengumumkan Perikatan Nasional (PN) kerajaan paling tidak stabil dalam dunia pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 hari ini.
Menurut beliau, keadaan itu sekali gus menjadikan PAU 2020 adalah sejarah bagi UMNO kerana kali pertama ia diadakan selepas berlaku pertukaran kerajaan bukan secara pilihan raya.
“Kali pertama dalam sejarah negara pada Februari Mac 2020 pertukaran kerajaan berlaku bukan secara pilihan raya dan Ahli Parlimen UMNO Barisan Nasional (BN) paling ramai dalam kerajaan campuran.
“Kali pertama juga politik negara ini amat tidak stabil. Kerajaan ini paling tidak stabil dalam dunia. Pimpinannya sentiasa membilang sokongan Ahli Parlimen hampir pada setiap hari,” katanya.
Ahmad berkata, PAU 2020 juga mencatatkan sejarah kerana berlangsung dalam keadaan pandemik Covid-19, darurat kesihatan diisytiharkan manakala sidang Parlimen digantung.
Kata beliau, Yang di-Pertuan Agong telah bertitah Parlimen boleh bersidang, namun sidang Parlimen masih belum diadakan. – K! ONLINE