fbpx

NSL: KL Wildcats ke separuh akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMAIN KL Wildcats, Puteri Intan Balqis (tengah) melakukan jaringan ketika menentang Melaka pada aksi Kumpulan A NSL di Stadium Juara sebentar tadi.

KUALA LUMPUR – Biarpun merehatkan ramai pemain utama, Kuala Lumpur (KL) Wildcats tetap tidak berdepan masalah untuk menewaskan Melaka Mystic 90-21 pada aksi Netball Super League (NSL) di Stadium Juara, Bukit Kiara sebentar tadi.

Lebih menarik, KL Wildcats muncul satu-satunya pasukan dengan rekod kemenangan bersih 100 peratus selepas mengharungi empat perlawanan Kumpulan A setakat ini.

Kejayaan itu secara tidak langsung mengesahkan tempat KL Wildcats lebih awal ke pentas separuh akhir sebagai dua pasukan terbaik daripada Kumpulan A walaupun saingan masih berbaki dua perlawanan.

Bagaimanapun, skuad bimbingan Norizan Rajab itu masih perlu memenangi baki dua aksi bagi menjamin status sebagai juara Kumpulan A apabila dijadualkan menentang Perak Phoenix esok dan Kedah Sunshine pada 3 April ini.

Mungkin itu adalah faktor utama KL Wildcats tidak banyak menggunakan khidmat Nurul Adha Abdul Razak dan pemain tinggi lampai, Noramirah Dayana Noor Azhar yang boleh bermain di pelbagai posisi ketika bertemu Melaka sebentar tadi.

Namun, KL Wildcats tetap mempunyai kualiti tersendiri dengan duo serangan, Puteri Intan Balqis Ahmad Dzulkefli dan Nordiyanah Noorsabadinie serta pemain-pemain lain termasuk kapten, Nur Syafazliyana Mohd. Ali menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Pujian juga harus diberikan kepada Melaka yang berusaha keras sepanjang perlawanan dengan menampilkan permainan yang lebih kemas berbanding ketika tewas 13-91 kepada KL Wilcats pada aksi pertama minggu lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI