ISKANDAR PUTERI – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) telah menahan sebuah kontena yang membawa 28,000 kilogram (kg) kentang bernilai RM28,972.15 yang cuba dibawa masuk dari Bangladesh, semalam.
Maqis dalam satu kenyataan memberitahu, kentang dari Bangladesh itu dikesan pihaknya ketika menjalankan pemeriksaan di Pelabuhan Tanjung Pelepas, di sini pada pukul 11.15 pagi.
“Hasil pemeriksaan mendapati, pengimport telah melakukan pengisytiharan yang mengelirukan pihak berkuasa, iaitu tiada label yang ditampal pada setiap bungkusan kentang tersebut.
“Sehubungan itu, kesemua produk kentang tersebut telah ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu, kes akan disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana melakukan pengisytiharan yang mengelirukan pihak berkuasa.-K! ONLINE