Oleh AIMUNI TUAN LAH
GUA MUSANG – Seperti yang dijangka, kenderaan telah mula berpusu-pusu memasuki negeri ini berikutan kepulangan perantau untuk menyambut Hari Raya Aidiladha pada Jumaat ini.
Jalan Gua Musang-Kuala Krai mulai sesak dengan kenderaan sejak pagi tadi dan dijangka keadaan itu semakin bertambah sehingga malam kemuncak sambutan hari raya nanti.
Seorang guru dari Raub, Pahang, Hafiza Mahmud, 34, berkata, dia memilih tiga hari sebelum hari raya untuk pulang beraya di Kuala Krai.
Katanya, laluan trafik di semua jalan utama perlahan sejak pagi tadi namun, masih lancar tanpa sebarang kemalangan.
“Saya bertolak dari Raub kira-kira pukul 10 pagi dab berhenti di beberapa lokasi sebelum berehat sebentar di bandar ini pada pukul 5 petang ini.
“Saya bersyukur apabila tiba dengan selamat di Gua Musang dan tidak tahu berapa jam perjalanan lagi untuk tiba di Kuala Krai,” katanya.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf, sebanyak 100,000 kenderaan dianggarkan memasuki Kelantan mulai semalam bersempena Hari Raya Aidiladha.
Katanya, jumlah kenderaan itu termasuk dari negeri-negeri di utara dan selatan tanah air.
Seorang lagi perantau, Mohd. Rahimin Mohd Noor, 48, berkata, perjalanan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha kali ini berbeza kerana terpaksa berhadapan dengan prosedur operasi standard ekoran pandemik Covid-19.
Katanya, sehubungan dengan itu, pemilihan perjalanan waktu tiga hari sebelum Hari Raya Aidiladha untuk pulang ke kampung menyebabkan pengguna bakal berdepan kesesakan.
“Bagaimanapun, aliran trafik masih terkawal dan hanya sesak di kawasan persimpangan lampu isyarat.
“Pengguna jalan raya diharap dapat menggunakan beberapa jalan alternatif bagi mengelak mereka terperangkap dalam kesesakan lalu lintas,” katanya. – K! ONLINE