KUALA LUMPUR – “Tidak perlu tergesa-gesa untuk berbincang isu kerjasama dengan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” kata Datuk Seri Shahidan Kassim.
Menurut Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis itu isu tersebut timbul setelah UMNO membuat keputusan untuk menamatkan kerjasama dengan parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
“Keputusan untuk tidak bersama parti lain hanya akan berlaku semasa pilihan raya nanti, dalam masa sekurang-kurangnya setahun lagi, mengapa perlu dibincangkan sekarang.
“Fokus kita kini sepatutnya kena bekerjasama, kerana kerajaan yang ada sekarang adalah diperintah Perikatan Nasional (PN) dimana UMNO adalah majoriti dalam kabinet,” katanya.
Beliau berkata demikan ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang disempurnakan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Jelasnya lagi, UMNO Perlis tetap akan meneruskan kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum nanti walaupun pucuk pimpinan membuat keputusan sebaliknya. – K! ONLINE.