KAHERAH – Sekurang-kurangnya 32 maut dan 66 cedera selepas dua kereta api penumpang di Mesir bertembung semalam.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Mesir, Khaled Megahed berkata, sebanyak 36 buah ambulans dikejarkan ke lokasi kejadian yang berlaku di daerah Tahta, wilayah Sohag iaitu kira-kira 460 kilometer dari ibu negara Mesir.
“Seramai 32 mangsa disahkan terkorban dan 66 cedera. Kesemua mangsa telah dihantar ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan.
Rakaman video oleh agensi berita AFP menunjukkan beberapa gerabak kereta api terbalik.
Media tempatan melaporkan kereta api terbabit tergelincir di atas saluran air.
“Masalah sistem brek menyebabkan satu daripada kereta api berhenti dan yang lain melanggarnya dari belakang.
“Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan lanjut,” katanya.
Mesir berdepan insiden kemalangan kereta api yang meragut nyawa dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Infrastruktur tidak mencukupi dan penyelenggaraan buruk menjadi antara faktor yang dipersalahkan. – AFP