KUALA LUMPUR – Hasrat Negeri Sembilan Venom mahu mencipta kejutan ke atas Selangor Angels tidak menjadi kenyataan apabila tewas 31-56 pada aksi Kumpulan B Netball Super League (NSL) di Stadium Juara, Bukit Kiara sebentar tadi.
Walaupun mengawal ketat An Najwa Azizan, namun Negeri Sembilan masih gagal mencari jalan untuk menghalang penyerang prolifik skuad kebangsaan itu daripada melakukan jaringan demi jaringan sepanjang perlawanan.
Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada Negeri Sembilan kerana tidak berputus asa memberi saingan dan cuba merapatkan jurang kedudukan dengan skuad bimbingan Rosnani Ismail itu dalam tempoh 60 minit permainan.
Perkara itu diakui goal attack Selangor, S. Karishma Loganathan yang menganggap benteng pertahanan Negeri Sembilan berjaya memberikan kesukaran kepada mereka.
“Tahap kecergasan (pemain-pemain) Negeri Sembilan sangat tinggi. Mereka tak penat dan sentiasa ada di merata-rata tempat untuk melakukan pertahanan.
“Ia menyukarkan kami untuk melakukan hantaran bola ke kawasan shooter. Namun, kami berjaya juga untuk menangani situasi itu dalam suku kedua,” katanya.
Bagaimanapun, Negeri Sembilan yang dibimbing Suzana Malek masih berpeluang untuk cuba mengutip mata ke atas Selangor apabila kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi untuk aksi keempat Kumpulan B esok. – K! ONLINE