JOHOR BAHRU – Operasi Khas Jangkar Haram yang dijalankan Maritim Malaysia (APMM) mengesan sebanyak 67 kapal yang bersauh secara haram di kawasan perairan negeri hari ini.
Pengarah APMM Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, operasi tersebut melibatkan Pasukan Tindakan Khas (STAR Team) bersama aset laut yang digerakkan serentak bagi mengesan kapal yang enggan memberikan kerjasama untuk diperiksa.
Katanya, setelah tiga hari operasi tersebut dijalankan, jumlah kapal bersauh secara haram telah berkurangan daripada 105 buah kapal yang dikesan pada hari pertama operasi berkenaan digerakkan.
“Operasi Khas Jangkar Haram di perairan Tompok Utara Johor diteruskan hari ini dengan modus operandi gempur dan periksa mengejut oleh STAR Team yang diturunkan dari pesawat udara terus ke atas kapal yang disyaki berlabuh secara haram dan mencurigakan.
“Kedegilan sesetengah nakhoda kapal yang masih berlabuh secara haram dan enggan memberikan kerjasama untuk diperiksa menuntut APMM menggunakan modus operandi gempur dan periksa secara mengejut oleh STAR Team bersama pesawat udara dengan menggunakan teknik ‘fast roping’.
“Operasi ini melibatkan dua pasukan STAR Team, satu pesawat AW139 serta 11 aset laut yang digerakan serentak bagi mengesan dan mengenal pasti kapal yang enggan memberikan kerjasama untuk diperiksa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam operasi yang dijalankan, sebahagian kapal asing yang menyedari kehadiran aset APMM cepat-cepat membongkar sauh dan keluar daripada perairan negara.
Hasil pemeriksaan yang dijalankan, pihaknya menahan dua buah kapal dan dibawa ke pejabat Maritim Tanjung Sedili untuk pemeriksaan lanjut.
Nurul Hizam berkata, Op Khas Jangkar Haram ini dilaksanakan dengan intensiti yang tinggi bagi mengatasi isu tersebut dalam masa yang singkat.
Katanya, pengurangan statistik menunjukkan suatu perkembangan positif dan diharapkan trend penurunan ini akan berterusan.
“Operasi ini akan diteruskan hingga semua kapal-kapal yang berlabuh mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan dalam Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO) atau keluar dari perairan negeri Johor dengan
segera,” katanya. – K! ONLINE