SAKHIR – Juara dunia tujuh kali Formula Satu (F1), Lewis Hamilton memberi bayangan tidak akan meninggalkan sukan tersebut pada penghujung musim ini.
Spekulasi mengenai masa depan pelumba berusia 36 tahun itu bertiup kencang selepas dia hanya menandatangani kontrak lanjutan bersama Mercedes AMG Petronas sehingga akhir musim ini.
Bagaimanapun, menjelang Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa Bahrain esok, Hamilton mengakui dia masih belum bersedia untuk mengundurkan diri.
“Berdasarkan situasi semasa, saya tidak fikir ini adalah musim terakhir saya dalam F1. Perlumbaan sentiasa menarik setiap tahun, jadi saya tidak fikir untuk berhenti.
“Mungkin dalam tempoh lapan bulan lagi kita semua akan tahu sama ada saya kekal ataupun tidak dalam F1. Secara peribadi saya tidak mahu berhenti, namun apa sahaja boleh berlaku,” kata Hamilton.
Sementara itu, dia juga mengakui sangat teruja untuk memulakan saingan musim ini meskipun Mercedes menghadapi banyak masalah pada sesi ujian jentera sebelum ini.
“Setiap tahun kami berdepan masalah tidak menentu dengan jentera. Mungkin kami bukan pasukan paling pantas tetapi kami akan pastikan ia mampu bersaing dengan pasukan lain,” ujarnya. – AGENSI