LELAKI kulit hitam kelahiran Amerika Syarikat itu boleh disifatkan sebagai seorang penyanyi berbakat dan semakin mendapat tempat dalam kalangan pendengar.
Dia bukanlah pendatang baharu namun mula mencipta fenomena tersendiri menerusi single kasmaran melankolik, Heartbreak Anniversary.
Giveon atau nama sebenarnya, Giveon Dezmann Evans, 26, sebelum ini pernah melahirkan dua extended play (EP) iaitu Take Time dan terbaharu, When It’s All Said and Done. EP pertamanya menerima pencalonan buat kali pertama pada Grammy Awards baru-baru ini dalam kategori Album R&B Terbaik.
Sambutan kasmaran
Menyentuh sedikit tentang kualiti single perdana EP keduanya, Heartbreak Anniversary, komposisi melodi dan nukilan lirik lagu berkenaan sangat cocok untuk pasangan yang dalam fasa mengenang cinta lama.
Bagaimanapun, Giveon dan pasukan mencantumkan kenangan cinta dengan ‘sambutan’- sebab itulah lagu berkenaan diberi judul Heartbreak Anniversary atau kalau boleh penulis terjemahkan dalam bahasa Melayu bermaksud, ‘ulang tahun patah hati’.
Namun, Giveon berfikir dan menulis dari luar kotak pemikiran dan menterjemahkan naratif karya dengan genius, baik penulisan lirik waima komposisi melodi.
Bahagian penting sesebuah lagu seperti intro, verse (bait) dan korus diadun sempurna, sekali gus menjadikan karya berkenaan mesra telinga.
Ketika mula diperdengarkan lagu berkenaan, terdetik dalam hati adakah penyanyi Britain, Sam Smith sudah muncul dengan lagu baharu. Setelah diteliti, Giveon sebenarnya mempunyai identiti vokal dan nyanyian tersendiri.
Baritone, bukan tenor
Smith merupakan seorang tenor. Apa yang penulis faham, tenor merujuk kepada kategori penyanyi yang mempunyai gaya nyanyian klasikal antara julat vokal countertenor dan jenis vokal baritone.
Itu gaya nyanyian yang antara tertinggi dalam kategori vokal lelaki.
Giveon yang sebenarnya bukan seorang tenor. Dia seorang baritone iaitu kategori penyanyi lelaki dengan gaya nyanyian klasikal vokalnya antara bass dan jenis vokal tenor.
Barangkali, julat vokal Giveon tidak boleh ‘pergi’ setinggi Smith, namun barangkali juga julat bass (nada rendah) mereka hampir serupa. Kekurangan tersebut bagaimanapun tidak bermakna dia seorang penyanyi yang tidak bagus.
Sebagai gambaran tentang listrik vokal Giveon, suara penyanyi yang sangat mengidolakan legenda, Frank Sinatra itu boleh diibaratkan seperti deras air terjun coklat.
Semuanya kedengaran merdu, lemak dan manis yang memberi kepuasan tersendiri pada setiap pemujanya.
Giveon juga boleh disifatkan sebagai Sam Cooke alaf sekarang atau versi moden.
Vokalnya terkandung emosi tersendiri yang mudah membuatkan pendengar larut dalam setiap bait lirik dan melodi yang disampaikan.
yabas juga atas kolaborasi dengan Justin Bieber dan Daniel Caesar menerusi single terbaharu Bieber berjudul Peaches dalam album Justice.