PETALING JAYA – Sebuah bas milik Rapid KL hangus terbakar dalam kejadian di Taman Bunga Raya, Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Komander Operasi Kanan PBK II Mohamed Yazid Abd. Hamid berkata, kejadian berlaku berhadapan Kolej Tunku Abdul Rahman (TAR), Jalan Tumbuhan kira-kira pukul 4.59 petang tadi.
Katanya, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP Wangsa Maju) dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Semasa kejadian berlaku bas tersebut tidak membawa penumpang dan pemandu bas berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pasukan Bomba berjaya mengawal kebakaran pada pukul 5.14 petang. Kemusnahan kebakaran bas tersebut dianggarkan 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, kebakaran turut melibatkan sebuah kereta yang berada berhampiran dan kemusnahan kenderaan terbabit dianggarkan lima peratus.
“Bagaimanapun, kejadian itu tidak melibatkan mangsa. Punca kejadian masih dalam siasatan,” jelasnya. – K! ONLINE